Israj & Mikraj
ISRAK dan Mikraj satu peristiwa paling agung yang berlaku di bulan Rejab, setahun sebelum penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w. ke Madinah.
Umat Islam wajip mempercayai dengan penuh keyakinan peristiwa itu.
Peristiwa bersejarah itu diabadikan dalam al-Quran mengandungi hikmah amat besar, menunjukkan kekuasaan Allah mencipta alam ini dan membenarkan lagi kerasulan Muhammad s.a.w.
Ia peristiwa sangat luar biasa, mencabar pemikiran manusia seisi alam kerana berlaku di luar pencapaian panca indera biasa manusia, namun bagi golongan beriman tetap yakin dengannya kerana ia bukti kuasa Allah.
Dalam Islam, ulama mencapai kata sepakat sesiapa yang meragui atau tidak mempercayai peristiwa Israk dan Mikraj hukumnya kafir.
“Maha suci Allah yang membawa hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram di Makkah hingga ke Masjid Aqsa di Palestin yang diberkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang amat mengetahuinya.” (Maksud surah al-Isra':1)
Tetapi bagaimana bagi mereka yang sangsi atau tidak mempercayainya langsung, malah menganggap ia satu kisah dogeng, seperti golongan yang kufur dengan nikmat Allah?
Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar, berkata umat Islam pertama sekali kena percaya Allah itu Maha Berkuasa.
“Jadi, Allah boleh melakukan apa saja yang Dia kehendaki. Perjalanan Nabi melalui peristiwa itu juga bukan atas kehendak nabi tetapi dengan kehendak Allah SWT,” .
Daripada riwayat, menceritakan beberapa liku kejadian dialami Rasulullah s.a.w dan kejadian aneh bermula sebelum melalui perjalanan Israk dan Mikraj lagi.
Baginda mengalami pembedahan dada, hati Baginda dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam ('alaqah), kemudian dijahit kembali dadanya dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah.”
Selesai pembedahan, didatangkan haiwan iaitu Buraq untuk ditunggangi Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan 'Israk' dan sepanjang perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa dengan ditemani Jibril.
Tiba di tempat tertentu Rasulullah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan bersolat dua rakaat, seperti di Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah, Bukit Tursina (tempat Nabi Musa a.s. menerima wahyu) dan Baitul-Laham (tempat Nabi 'Isa a.s. dilahirkan).
Dalam perjalanan itu juga Baginda mengalami beberapa kejadian seperti gangguan jin Afrit dan menyaksikan golongan yang sedang bertanam, terus menuaikan hasil tanaman.
Baginda juga menyaksikan tempat yang berbau harum iaitu bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firaun) bersama suami dan anak-anaknya yang dibunuh Firaun, segolongan sedang memecahkan kepala, golongan yang menutup kemaluan mereka dengan secebis kain serta lelaki dan perempuan memakan daging mentah berbau busuk.
Ketika Mikraj (ke Hadhratul Qudus menemui Allah) Baginda didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah s.a.w. dan Jibril naik ke tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Baginda dinaikkan ke beberapa lapisan langit bertemu dengan kalangan nabi dan rasul, termasuk Nabi Isa, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim sedang bersandar di Baitul-Ma'mur dihadapi oleh beberapa kaumnya.
Baginda juga bermunajat dengan Allah dan dalam munajat itu baginda menerima perintah melakukan solat 50 waktu sehari semalam, yang kemudiannya dipendekkkan kepada lima waktu saja.
Mohd Rani berkata, memang kejadian Israk dan Mikraj itu aneh tetapi semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka.
Bagi yang mengerti, katanya, kebenaran peristiwa itu tidak perlu dipersoalkan kerana maksud Maha Suci Allah seperti pada ayat 1 surah al-Isra' menunjukkan kuasa Allah mengatasi segala-galanya.
“Dia yang menjalankan dengan kehendak-Nya, maksudnya Allah yang menjalankan dengan kehendak Allah.
“Malah, semua makhluk berjalan dengan kehendak Allah. Misalnya, hujan turun dengan kehendak Allah, perjalanan matahari mengikut peredaran yang tertib juga dengan kehendak Allah.
“Perkara ini harus difikirkan secara terbuka, iaitu dengan tujuan mahu mencari kebenaran, bukannya menutup kebenaran. Semua kena yakin Allah Maha Berkuasa. Jika awal-awal lagi tidak mahu percaya memang susahlah,” .
Dalam hal ini beliau mengadakan satu perumpamaan, jika Allah mahu seekor semut berjalan dari Kuala Lumpur ke Jeddah dalam tempoh 10 jam, memanglah kelihatan pelik dan sukar diterima.
“Tetapi dari segi akal sebenarnya boleh diterima, sebab mungkin ia menaiki kapal terbang atau memasuki saku baju penumpang.
“Sebab itu ada ayat dalam al-Quran yang bermaksud Maha Suci Allah iaitu merujuk kepada kekuasaan Allah.
“Supaya Allah perlihatkan tanda-tanda kebesaranNya, benda-benda zaman dulu tidak boleh lihat, tetapi Nabi boleh lihat, termasuk dengan roh Nabi.
“Batu di Masjidil Aqsa juga terangkat kerana hendak mengikut bersama Rasulullah s.a.w ke langit disebabkan sayang dan tidak hendak berpisah dengan Nabi. Itu adalah tanda kebenaran yang sangat jelas.
“
Sesiapa saja boleh ke Baitul Maqdis melihat batu terbabit yang masih boleh dilihat dengan jelas hari ini,”.
No comments:
Post a Comment